azab neraka sangat jelas

Azab neraka diceritakan secara jelas. Ia amat mudah dibayangi. Kesakitan dunia yang tidak tertanggung memadai untuk saya memikirkan secara serius tentang suasana yang tidak terperi deritanya. Misalnya, saya sentiasa tidak mampu untuk terus meminum kopi-O panas yang dihidang oleh Roza. Saya perlu membiarkan suhu minuman tersebut turun ke satu paras yang sesuai barulah boleh diminum dengan penuh rasa nikmat.baca selenkapnya

Begitulah bayangan kepanasan – biasa-biasa – yang tidak mampu ditanggung oleh manusia. Namun rasa dahaga di dalam neraka juga dilayani dengan suatu minuman. Misalnya Allah SWT telah nyatakan melalui ayat 29, surah al-Kahfi yang bermaksud,

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah beliau beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah beliau mengingkarinya.

Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.
Bayangilah suasana ini. Tidak cukupkah gambaran azab api neraka sebagai motivasi untuk membawa diri, isteri, anak-anak dan kaum keluarga meninggalkan kecelakaan ini dan selayaknya berada di syurga Firdaus. Itulah destinasi pilihan bagi mereka yang waras fikirannya. Tentu sekali saya mahu terselamat daripada segala bentuk siksaan selepas dipisahkan dari kehidupan dunia misalnya azab alam kubur, hari kiamat, Padang Mahsyar, laluan sirah dan api neraka.

Kami – saya dan Roza – selalu bertelagah tentang azab dunia yang telah kami lalui. Saya tetap berpendirian menyatakan kesakitan akibat batu karang yang tersekat pada pundi kencing jauh lebih menyiksakan daripada sakit beranak. Namun ia lebih kepada gurauan dalam nada serius.

Hujah saya sangat mudah. Wanita menyatakan sakit beranak mendahului di atas segala kesakitan yang telah mereka lalui (nota: tentu sekali ia terkecuali dengan penyakit kronik lain) tetapi ada yang beranak setahun satu. Ia menandakan yang ia kesakitan yang tidak digeruni.

Namun kenyataan ini tentunya bersebab. Seorang rakan FB yang telah merasai kedua-duanya – sakit bersalin dan batu karang – menyatakan,

Saya sudah merasai kedua-dua kesakitan. Saya telah melahirkan lima orang anak dan pernah diserang dengan penyakit batu karang. Subhanallah… kedua-duanya teramat sakit. Sangat sakit. Bezanya, sakit bersalin mudah dilupakan apabila melihat anak-anak membesar. Sakit batu karang berbeza. Saya sukar melupakannya. Jika ditanya, saya akan menyatakan sakit disebabkan batu karang melebihi sakit bersalin.
Dua kali saya berada di sisi Roza ketika beliau melahirkan Haris Azrai dan Amirul Imran. Masya Allah … Sara dan Sofea disambut di Hospital Segamat yang tidak membenarkan saya bersama. Satu … dua … tiga … push … sekali arahan sahaja Haris Azrai mengeluarkan bunyi yang sangat nyaring.

Lihat, boy or girl?, tanya doktor yang menyambut kelahiran.

Boy … saya melihat senyum di bibir Roza. Ia pertanyaan yang mengejutkan. Hilang segala kesakitan yang sering diceritakan orang. Maksud saya, kesakitan melahirkan anak pupus apabila mengetahui jantina bayi yang dilahirkan berlawanan dengan telahan doktor sebelumnya. Malah itulah jantina bayi yang diharapkan setelah menerima anak perempuan sebelumnya.

Malah saya tidak nampak Roza berkerut, mengadoi atau bersuara menyatakan perasaan kesakitan yang dinyata-nyata sebelum ini. Jika benar-benar ia sebagai satu azab – saya fikir – maka ayat 6-7 surah al-Mulk merupakan perilaku kesakitan yang tidak tertanggung. Maksud ayat ini adalah seperti berikut,

Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab Neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.
Pengalaman kedua nyata berbeza. Amirul sukar keluar. Berat badannya genap 4 kg sememangnya tidak membantu. Malah selang masa dengan kelahiran Haris Azrai dan beliau hampir tujuh tahun – barangkali – menyebabkan jalannya sudah tiada. Itulah pendapat Dr Perakaunan. Adab dan gaya di hospital Bangor, United Kingdom nyata berbeza. Kami dimaklum dan diberi pilihan untuk memilih kaedah menyambut bayi ketiga ini. Roza memilih bersalin secara normal dengan bantuan alat pernafasan.

Masya Allah … Subhanallah … Allahu Akbar. Saya menyaksikan sendiri betapa sukarnya Roza mengeluarkan Amirul. Labour painnya panjang. Roza berusaha tetapi tenaganya semakin lemah. Namun beliau masih mendiam diri dan menahan sakit dalam senyap. Beliau bercerita,

Sakitnya tidak tertahan. Saya hanya berdoa dan berdoa. Saya meminta Allah SWT memudahkan kelahiran. Habis segala surah yang saya hafal saya baca. Awak tidak tahu.
Akhirnya Roza berbisik mahu menggunakan ubat penahan sakit. Saya maklumkan kepada bidan akan permintaan tersebut. Beliau nyatakan kepada saya, “bertahan … hanya sekali push sahaja …”. Lalu saya bisikkan kepada Roza,

Jika kita gunakan ubat penahan sakit, ia boleh memberi kesan kepada baby. Misi maklumkan hanya sekali push sahaja, InsyaAllah.
Saya mungkin berbohong dengan menyatakan pendapat sendiri. Namun – barangkali – itulah yang menjadi pendorong Roza untuk mengumpulkan sedikit sisa tenaganya untuk melorongkan Amirul supaya keluar melihat kehidupan yang lebih luas. Bayi lelaki besar ini kehausan. Kini, saya fikir betapa kehadiran bayi ini atas sifat Maha Pengasih Allah SWT yang melihat betapa sabarnya Roza menahan kesakitan. Ia berakhir dengan rasa gembira dan teruja.

Amirul terus pandai menyusu. Allah ya Allah … tiada lagi azab sakit beranak apabila bayi berada di tangan dan terlangsung hubungan terus di antara keduanya. Ia kesakitan yag dilupakan serta-merta. Benar, Allah SWT menceritakan bagaimana susah-payah ibu mengandung dan melahirkan anak namun – saya fikir – azab api neraka pastinya jauh lebih menggerikan.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.

(Surah al-Ahqaaf, ayat 15)
Benar. Sangat benar saya menyaksikan kesusahan Roza untuk melahirkan Amirul. Namun saya tidak dapat merasai gambaran tahap kesakitan atau azab melahirkan seorang anak yang dicerita orang. Roza – kelihatan – bertenang, diam, tidak meraung dan kemudian tersenyum apabila memangku anak yang serta-merta mahu menyusu.

Roza nyata sangat teruja melihat perangai anak barunya yang kelihatan berbeza berbanding kakak dan abangnya yang mengambil masa untuk belajar menyusu. Lalu saya mengaitkan dengan kesakitan penyakit batu karang yang saya fikir kemuncak azab kesakitan yang saya terima di dunia. Ia juga dilupakan setelah masa berlalu.

Begitulah. Kesakitan di dunia bersifat sementara. Kesakitan yang dikatakan paling hebat – sakit beranak – sekalipun hilang selepas kandungan dikeluarkan. Bagi kes-kes lain, setiap kesakitan yang dialami pasti berakhir. Paling tidak ia ditamatkan dengan kematian apabila sampai masanya.

Namun kesakitan azab di Neraka berlaku dalam tempoh yang lama. Mereka hanya dipindahkan setelah selesai menjalani hukuman disebabkan oleh kedegilan mereka. Mereka yang kafir akan kekal selama-lamanya.

Selain dari Allah? Dapatkah mereka menolong kamu atau menolong dirinya sendiri? Lalu mereka dihumbankan ke dalam neraka dengan tertiarap, jatuh bangun berulang-ulang, mereka dan orang-orang yang sesat bersama.
(Surah As-Syu’araa, ayat 93-94)
Tentu sekali kita mahu memasuki syurga Firdaus. Fitrahnya begitu. Lalu bayangilah azab api neraka agar hati dan perasaan terasa takut dan gementar. Tanda kita takut dan gementar ialah dengan melaksanakan segala suruhan dan larangannya. Takutkah kita jika sisa berbaki kehidupan yang terlalu singkat ini masih gagal untuk solat berjemaah di masjid, menjaga aurat dengan sempurna dan gagal melaksanakan ibadat-ibadat sunat yang sangat-sangat disukai oleh Allah SWT. Jika tidak takut dengan amaran azab oleh Allah SWT maka nilai sebagai seorang muslim perlu dinilai semula.

Iklan

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s